ULASAN BUKU

Kata orang, membaca jambatan ilmu, membaca pelita hidup dan segala macam falsafah tentang membaca. Apa yang pasti, membaca adalah suatu amalan yang mulia dan bermanfaat. Ruangan ini menyediakan ulasan-ulasan buku terkini yang diusahakan oleh kakitangan Institut Perkembangan Minda (INMIND) sebagai wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Selamat membaca!

Name:
Location: Petaling Jaya, Selangor, Malaysia

Institut Perkembangan Minda atau INMIND adalah sebuah organisasi pemikir utama kepada Kerajaan Negeri Selangor. INMIND membantu perencanaan polisi Kerajaan Negeri Selangor melalui penyelidikan dan pengumpulan data sosio-ekonomi. INMIND juga mendokumentasikan maklumat, idea-idea dan aspirasi kemajuan dan pembangunan negeri Selangor dalam bentuk prosiding, laporan dan penerbitan bercetak. Selain itu, INMIND mencadang dan menguruskan program konferens seperti konvensyen, seminar, kolokium, bengkel dan diskusi sebagai medan sumbangan idea dan percambahan fikiran. INMIND turut terlibat merangka dan melaksanakan program latihan dengan mengendalikan Program Bina Insan Negeri Selangor, latihan kepimpinan dan latihan korporat. Sebagai kumpulan pemikir, INMIND amat mendukung pembudayaan ilmu di kalangan masyarakat. Atas dasar itu, INMIND menganjurkan siri-siri program khusus keilmuan seperti Wacana Ilmiah Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor, Bicara 1001 Buku, dan yang terkini Syarahan Darul Ehsan. INMIND dipengerusikan oleh YAB. Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo, Dato’ Menteri Besar Selangor.

Monday, August 21, 2006

Educational Dualism in Malaysia

Penulis mengetengahkan dilema orang Islam di Malaysia akibat daripada dua aliran pendidikan yang berbeza; sistem pendidikan Islam dan pendidikan sekular-pragmatik / kebangsaan. Buku ini mengkaji perkembangan kedua-dua sistem tersebut, masalah akibat dua sistem pendidikan yang berbeza ini di Malaysia dan mengusulkan cadangan untuk mengatasinya.

Umumnya sistem pendidikan kebangsaan dikritik kerana pertama pendidikan Islam di sekolah kebangsaan tidak efektif – ramai pelajar tidak boleh membaca al-Quran. Kedua pengetahuan Islam tidak cukup diajar berbanding subjek akademik. Ketiga dianggap kurang mementingkan pembinaan akhlak dan karektor. Keempat, walaupun falsafah pendidikan negara baik, tetapi mereka tidak optimistik aspek pelaksanaan dalam menanamkan nilai-nilai murni kepada pelajar.

Sistem pendidikan Islam juga dikritik kerana, pertama kurikulumnya terhad, ketinggalan, berbahasa Arab dan direka untuk melahirkan guru agama, mufti dan kadi. Bagaimana dengan kerjaya doktor, jurutera dan sebagainya? Kedua, ianya berorentasikan hafalan dan kurang merangsang pertanyaan dan pemikiran kritis. Ketiga ketinggalan daripada segi kewangan dan infrastruktur.

Lebih daripada itu, kedua-dua sistem yang berjalan serentak ini dianggap gagal melahirkan personaliti Muslim yang bersepadu dan ideal.

Senario dua sistem pendidikan ini adalah biasa di negara bekas jajahan. Sistem pendidikan Islam di Malaysia bermula daripada sistem pondok, madrasah, sekolah rakyat sehinggalah diambil alih oleh Jabatan Agama negeri atau pihak kementerian. Manakala sistem pendidikan sekular bermula daripada sekolah mubaligh, sekolah vernacular sehinggalah sekolah kebangsaan sekarang.

Selepas era kemerdekaan, negara Muslim mengambil tindakan untuk merombak dasar pendidikan agar ianya lebih kontemporari, berintegrasi sambil tidak meninggalkan nilai keislaman. Dalam kes Malaysia pula, ianya melibatkan kepelbagaian etnik dan agama.

Antaranya pembentukan Falsafah Pendidikan Negara 1987 iaitu ”usaha berterusan untuk membina potensi individu yang menyeluruh dan bersepadu, menghasil individu yang seimbang dan harmonis dari sudut intelek, rohani, emosi dan fizikal, berdasarkan kepercayaan penuh dan pengabdian diri kepada Tuhan”.

Penampilan buku ini secara kronologi masa kerana menampilkan perkembangan sekolah agama dan pendidikan kebangsaan era sebelum, selepas kemerdekaan dan era semasa. Falsafah pendidikan Islam, perbandingan di antara kedua-dua sistem serta kebarangkalian dan implikasi sebarang penggabungan kedua-dua sistem turut dibincangkan.

Kegagalan kedua-dua sistem ini antara lain menurut Wan Mohd Nor Wan Daud, akibat kekeliruan makna ”ilmu” di kalangan orang Islam dan persepsi salah tentang ilmu menurut Islam, yang mana dimanifestasi dalam kedua-dua sistem pendidikan ini.
Ditampilkan juga konsep Islamization of Knowledge oleh Ismail al-Faruqi yang merasakan kemalasan dan kemunduran umat Islam tidak boleh dipulihkan melainkan dengan pengintegrasian kedua-dua sistem ini atas roh semangat dan nilai keislaman. IoK adalah pengintegrasian ilmu-ilmu baru ke dalam korpus khazanah Islam dengan membuang, meminda, interpretasi semula dan menyerap komponennya selaras dengan nilai dan world view / tasawwur Islam.

Antara masalah untuk integrasi adalah Perlembagaan sendiri, di mana kedua-dua sistem ditadbir oleh dua institusi yang didukung oleh perlembagaan; sistem agama atas kuasa raja-kerajaan negeri, sistem kebangsaan atas kementerian-kerajaan pusat.

Penulis juga membincangkan secara terperinci untuk mencari titik persamaan dan jurang perbezaan di antara kedua-dua sistem. Antara yang dinilai ialah falsafah, isi kandung dan juga metod pendidikan kedua-dua sistem.

Antara yang menariknya, daripada segi falsafah dan tujuan pendidikan itu, kedua-dua mempunyai banyak persamaan. Antara persamaannya ialah kedua-duanya menekankan pentingnya pendidikan moral, penekanan konsep asas manusia sebagai abdi dan khalifah, pembangunan seimbang individu, pendidikan yang berintegrasi dan holistik, pentingnya kemahiran praktikal dalam bidang ekonomi kehidupan dan penekanan falsafah pendidikan sepanjang hayat.

Walaupun begitu, dari segi pengoperasian, masih terdapat masalah kerana, terutamanya sistem pendidikan Islam masih bersifat tidak formal, supplementary dan hanya kukuh di sebilangan negeri sahaja. Jurang perbezaan paling ketara ialah sistem pendidikan kebangsaan tidak bersandar secara jelas kepada konsep tawhidik. Ini berikutan adanya kelompok minoriti non-Muslim yang turut berada dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Akhirnya penulis menampilkan beberapa cadangan penyelesaian yang antaranya:
1. Menubuhkan Suruhanjaya yang bebas non-partisan untuk mengumpul maklumat, mengkaji dan membuat cadangan-cadangan.
2. Pihak Kementerian dan Jabatan Agama Negeri bekerjasama dalam mengawal dan membiayai SAR sedia ada, dan memastikan sekolah sedia ada; SAR dan Kebangsaan menepati kehendak Muslim.
3. Kementerian membantu sekolah ”rakyat” sehingga sekolah tersebut boleh diambil alih atau menjadi sekolah swasta.
4. Kementerian perlu mengiktiraf sekolah agama rakyat sedia ada sebagai sebahagian sistem pendidikan kebangsaan yang diberi bantuan penuh serta tidak dianggap sekolah swasta.Sekolah kebangsaan disusun semula agar ianya terus dilihat menarik kepada Muslim dan juga non-Muslim.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home