ULASAN BUKU

Kata orang, membaca jambatan ilmu, membaca pelita hidup dan segala macam falsafah tentang membaca. Apa yang pasti, membaca adalah suatu amalan yang mulia dan bermanfaat. Ruangan ini menyediakan ulasan-ulasan buku terkini yang diusahakan oleh kakitangan Institut Perkembangan Minda (INMIND) sebagai wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Selamat membaca!

Name:
Location: Petaling Jaya, Selangor, Malaysia

Institut Perkembangan Minda atau INMIND adalah sebuah organisasi pemikir utama kepada Kerajaan Negeri Selangor. INMIND membantu perencanaan polisi Kerajaan Negeri Selangor melalui penyelidikan dan pengumpulan data sosio-ekonomi. INMIND juga mendokumentasikan maklumat, idea-idea dan aspirasi kemajuan dan pembangunan negeri Selangor dalam bentuk prosiding, laporan dan penerbitan bercetak. Selain itu, INMIND mencadang dan menguruskan program konferens seperti konvensyen, seminar, kolokium, bengkel dan diskusi sebagai medan sumbangan idea dan percambahan fikiran. INMIND turut terlibat merangka dan melaksanakan program latihan dengan mengendalikan Program Bina Insan Negeri Selangor, latihan kepimpinan dan latihan korporat. Sebagai kumpulan pemikir, INMIND amat mendukung pembudayaan ilmu di kalangan masyarakat. Atas dasar itu, INMIND menganjurkan siri-siri program khusus keilmuan seperti Wacana Ilmiah Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor, Bicara 1001 Buku, dan yang terkini Syarahan Darul Ehsan. INMIND dipengerusikan oleh YAB. Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo, Dato’ Menteri Besar Selangor.

Monday, August 21, 2006

Malaysian Environment in Crisis

Malaysia merupakan sebuah negara beriklim khatulistiwa yang memiliki kepelbagaian keistimewaan berbanding negara-negara lain di dunia.

Terletak berhampiran latitud 0 dan tiupan monsun timur serta barat laut yang membawa hujan menjadikan negara ini panas dan lembap sepanjang tahun. Tumbuhan menghijau dan habitat hidupan liarnya menambat hati kepada mereka yang mencintai nilai estetika alam semula jadi.

Sungai-sungainya yang jernih dapat mengimbau kesaljuan flora dan fauna lantas menambat jiwa yang keresahan menjadi tenang. Gunung-ganang yang menghijau, saujana mata memandang. Udara yang bersih dan nyaman menyusuk dalam tubuh menghasilkan tindak balas positif dengan kesegaran yang menjamin kesihatan.

Mungkinkah nilai estetika ini akan dirasai oleh anak cucu kita pada masa depan? Adakah mereka masih mengenali pungguk, musang, kancil, gajah atau singa secara realiti atau hanya gambar dan patung di muzium?

Apakah mereka masih boleh mengenali jati, keruing, penaga, bakau, nibung, mahang, ru, mengkuang dan nipah?

Kebanyakan kegiatan ekonomi di negara ini mencengkam alam sekitar. Banyak implikasi yang menyebabkan generasi akan datang akan kehilangan khazanah hutan yang begitu mahal nilainya. Penerokaan hutan kerana semata-mata mementingkan pembangunan fizikal tanpa mengambil kira implikasi negatifnya akan memudaratkan kehidupan dan menyebabkan proses kitaran hidup flora dan fauna mungkin terbantut.

Lihatlah kesan-kesan pembangunan yang tidak terkawal. Apa yang pasti akan berlaku ialah kepupusan sumber hutan khususnya flora dan fauna. Ikan, ketam, dugong, penyu mungkin makin menghilang. Mineral logam dan bukan logam juga akan semakin lenyap apabila setiap hari dikikis, dikorek dan dilombong. Pencemaran alam merupakan musibah luar biasa. Gas beracun karbon monoksida, nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan gas metana akan memenuhi ruang udara, lebih banyak berbanding oksigen. Situasi ini akan menyesakkan saluran pernafasan hidupan di muka bumi ini.

Perubahan pandang darat daripada fizikal kepada budaya akan mengubah landskap kawasan. Hutan menjadi taman perumahan, menjadi kawasan kilang atau menjadi bandar-bandar baru. Kawasan bekas lombong menjadi tasik, paya atau kolam. Infrastruktur elektrik, air, telefon, jalan raya, pondok dan kemudahan lain menjadikan landskap dipenuhi tiang, kabel, besi, batu simen, bitumen, jambatan dan sebagainya.

Kesan rumah hijau pula membantu proses pemanasan atmosfera bumi. Gas-gas karbon akan mengubah keseimbangan tenaga di bumi dengan menyerap sinaran inframerah yang terbebas di permukaan bumi. Kepanasan suhu akan menyebabkan hidupan tidak akan ada lagi di muka bumi ini. Matahari yang memancar cahaya ke bumi akan memantulkan semula cahaya itu sebanyak 26 peratus ke ruang atmosfera oleh awan dan ozon. Sebanyak 19 peratus diserap dan selebihnya kira-kira 55 peratus sahaja yang sampai ke bumi. Sebanyak empat peratus akan dikembalikan ke atmosfera dan selainnya digunakan untuk memanaskan muka bumi seperti mengeringkan pakaian, mencairkan salji dan ais, menyejat air dan fotosistesis.

Penipisan lapisan ozon akan berlaku akibat pembebasan kloroflurokarbon (CFC) iaitu penyerapan dan pembalikan semula sinaran ultraungu dan hidrogen dioksida. Penipisan dan kebocoran ultraungu yang sepatutnya dipantulkan semula ke atmosfera sebaliknya akan menembusi ke permukaan bumi. Masalah sakit kulit dan mata adalah kesan nyatanya.

Apabila terlalu banyak bangunan-bangunan pencakar langit, sistem pengudaraan dan tiupan angin akan tersekat. Keadaan ini akan mewujudkan pulau haba iaitu satu kawasan di mana suhu panas terkumpul kerana dihalang oleh bangunan-bangunan tinggi itu. Tidak hairanlah mengapa kawasan bandar bersuhu lebih panas berbanding di kawasan yang ditumbuhi hutan.

Hujan asid adalah malapetaka yang dicipta manusia. Pembebasan asap dan gas jenis karbon, oksida atau monoksida secara terbuka akan mencemari udara sama ada basah atau kering. Apabila berpadu bersama wap yang naik ke udara maka wap yang terkumpul dan mencair akan turun bersama gas-gas tadi menjadi hujan asid. Hujan asid memberi kesan kepada hidupan dan tumbuhan. Bahan kimia yang terkandung akan memusnahkan hidupan. Debu-debu kering yang mengandungi asid pula akan melekat pada bangunan, kenderaan dan tumbuh-tumbuhan dan secara perlahan-lahan akan merosakkannya.

Masih belum terlambat bagi manusia yang diberikan tanggungjawab menjaga dan mengawal muka bumi ini daripada memelihara khazanah ini supaya tidak diusik dan memulihara khazanah yang sudah dicemari. Justeru pembangunan lestari diperlukan bagi menyeimbangkan pembangunan fizikal dan pembangunan hutan atau alam sekitar. Maksud pembangunan lestari ialah mengimbangi pembangunan fizikal dengan pembangunan alam sekitar. Dengan erti kata lain, pembangunan lestari ialah pembangunan negara tanpa merosakkan alam sekitar.

Antara langkah positifnya termasuk proses penghutanan semula. Maksudnya kawasan yang telah diteroka, telah ditebang pokoknya dan diambil hasil balaknya ditanam semula dengan pokok-pokok yang baru supaya kawasan ini terus menghijau. Keadaan ini akan memastikan hutan dalam keadaan kekal dan habitat hidupan liarnya mempunyai tempat tinggal.

Pembuangan sisa toksid kesan pembangunan industri boleh mencemarkan dan mengurangi komposisi flora dan fauna pada alam sekitar. Justeru satu tindakan kitar semula merupakan tindakan mesra alam iaitu dengan memproses semula bahan-bahan yang terbuang seperti tin-tin aluminium, plastik, getah, besi atau kaca. Bahan-bahan ini boleh dikitar semula dan mengelakkan berlaku pengoksidaan dan pengasidan bahan-bahan yang berbahaya kepada kesihatan.

Program pendidikan alam sekitar pula merupakan langkah awal menyemai rasa cinta pada alam sekitar kepada masyarakat dengan memberikan pengetahuan cara melestarikan alam sekitar tanpa membantutkan pembangunan fizikal. Memberi pengetahuan mengenai kepentingan memelihara alam sekitar dan memberi pengetahuan tentang kesannya jika pemusnahan alam tidak terkawal akan membantu mengurangi karakusan pembangunan yang tidak mapan. Justeru pendidikan alam sekitar melalui pengajaran subjek Geografi, Sains dan pewujudan kelab-kelab alam sekitar akan menyokong usaha tersebut.

Persidangan, seminar dan kempen adalah langkah mempengaruhi orang ramai supaya mempelajari, meyakini atau mengamalkan sesuatu tindakan positif seperti meninggalkan pengamalan sikap buruk merosakkan alam sekitar. Persatuan-persatuan atau kelab-kelab pencinta alam seperti Sahabat Alam Malaysia, Persatuan Perlindungan Alam Sekitar atau badan-badan sukarela lain boleh membantu. Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) atau Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) juga boleh membantu menganjurkan aktiviti tersebut di samping tugas yang perlu dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Perhilitan.

Dalam proses pembangunan negara yang berterusan mungkin akan menyebabkan kitaran hidup flora fauna terjejas. Justeru selain penghutanan semua, kajian dan penyelidikan (R&D) mengenai tumbuhan dan haiwan perlu dilaksanakan. Projek R&D ini akan mampu membiakkan spesies-spesies yang semakin pupus, menghasilkan teknologi untuk mengembangbiakkan flora dan fauna, teknologi melindungi tumbuhan daripada serangan serangga atau asid, teknik pengeluaran produk yang tidak mencemarkan alam sekitar atau kaedah terbaik menghapuskan pencemaran.

Selaras dengan perkembangan industri permotoran yang semakin maju, penggunaan tenaga secara mesra alam juga diperlukan untuk membendung ruang udara daripada serangan debu, asap, jerebu atau suhu panas. Antara langkahnya ialah menggunakan petroleum tanpa plumbum, menggalakkan penggunanan tenaga suria, mengelakkan penggunaan tenaga daripada pembakaran, menggantikan proses pembakaran enjin dengan bateri atau tenaga solar, menggantikan diesel dan petrolium dengan elektrik atau penggunaan tenaga altenatif lain selain petroleum, gas atau arang batu seperti menggunakan biojisim.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home