ULASAN BUKU

Kata orang, membaca jambatan ilmu, membaca pelita hidup dan segala macam falsafah tentang membaca. Apa yang pasti, membaca adalah suatu amalan yang mulia dan bermanfaat. Ruangan ini menyediakan ulasan-ulasan buku terkini yang diusahakan oleh kakitangan Institut Perkembangan Minda (INMIND) sebagai wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Selamat membaca!

Name:
Location: Petaling Jaya, Selangor, Malaysia

Institut Perkembangan Minda atau INMIND adalah sebuah organisasi pemikir utama kepada Kerajaan Negeri Selangor. INMIND membantu perencanaan polisi Kerajaan Negeri Selangor melalui penyelidikan dan pengumpulan data sosio-ekonomi. INMIND juga mendokumentasikan maklumat, idea-idea dan aspirasi kemajuan dan pembangunan negeri Selangor dalam bentuk prosiding, laporan dan penerbitan bercetak. Selain itu, INMIND mencadang dan menguruskan program konferens seperti konvensyen, seminar, kolokium, bengkel dan diskusi sebagai medan sumbangan idea dan percambahan fikiran. INMIND turut terlibat merangka dan melaksanakan program latihan dengan mengendalikan Program Bina Insan Negeri Selangor, latihan kepimpinan dan latihan korporat. Sebagai kumpulan pemikir, INMIND amat mendukung pembudayaan ilmu di kalangan masyarakat. Atas dasar itu, INMIND menganjurkan siri-siri program khusus keilmuan seperti Wacana Ilmiah Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor, Bicara 1001 Buku, dan yang terkini Syarahan Darul Ehsan. INMIND dipengerusikan oleh YAB. Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo, Dato’ Menteri Besar Selangor.

Wednesday, September 20, 2006

The Seven Summit of Success

Terdapat tujuh puncak (gunung) yang tertinggi di dunia: Kalimanjaro (Africa – 5895m); Denali (North America – 6194m); Everest (Asia – 8848m); Elbrus (Europe – 5642m); Carstensz Pyramid (Australasia – 4884m); Aconcagua (South America – 6960m) dan Vinson (Antarctica – 4897m).

Secara umumnya penulisan buku ini dibuat secara “serampang dua mata”. Pada satu bahagian, penulis (Rebecca Stephens) bercerita tentang pengalaman dan cubaannya untuk mendaki tujuh puncak tertinggi dunia. Pada suatu bahagian yang lain seorang lagi penulis (Robert Heller) menganalisa pengalaman tersebut dan merumuskannya dalam bentuk formula-formula kejayaan.
Dalam pengenalannya penulis tertanya-tanya mengapa orang suka mendaki gunung? Mengapa orang ingin ke puncak Everest? Sedangkan mendaki gunung adalah suatu perkara yang sukar lagi menyukarkan, tiada jaminan keselesaan: makanan terhad, pakaian terhad, bertarung nyawa dan sebagainya.
Mengapa pula orang berbangga apabila berjaya menamatkan pendakiannya? Mengecapi kejayaan dan kepuasan serta mencanangkan kejayaan mereka ke serata tempat.
Soalan-soalan “kenapa” (why) inilah yang menjadi kata kunci dalam pengenalan buku ini Defining the Dream. Setiap orang mempunyai impian dan cita-cita serta mahu impian dan cita-cita itu berjaya atau menjadi realiti. Justeru, kenal pasti cita-cita atau ciptakan impian sebagai prasyarat pertama kejayaan.

Selepas mempunyai impian, lihatlah peluang yang ada. Penulis menamakannya sebagai The First Summit. Impian yang ada mesti dilorongkan ke ruang-ruang yang membolehkan impian itu menjadi kenyataan. Kita perlu mengenal pasti apa peluang yang ada untuk merealisasikan impian kita.

Apabila mengetahui peluang-peluang yang boleh dimanfaatkan, langkah seterusnya (The Second Summit) ialah membentuk kemahiran yang ada. Penulis menyarankan beberapa formula dalam membentuk kemahiran, antaranya ialah melangkah terus ke hadapan tanpa ragu-ragu.
Walaupun menyedari akan risiko yang mungkin berlaku, tetapi kemahiran tersendiri yang ada boleh digunakan untuk memaksimumkan risiko tersebut. Sering membuat rancangan luar jangka dengan sentiasa bertanya “apakah jika ia berlaku?” Mesti fanatik untuk meningkatkan kemajuan dalam diri dan yakin untuk membuktikan keupayaan dan bakat yang terpendam.

The Third Summit kepercayaan dan kesetiaan kepada pasukan (trusting to teamwork). Setiap orang mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri. Setiap orang juga mempunyai kekurangan dan kelemahan yang tersendiri. Dalam berpasukan, kita harus memanfaatkan semua kelebihan dan keistimewaan yang ada untuk memaksimumkan kejayaan dan meminimumkan kekurangan serta kelemahan diri sendiri.
Justeru, dalam berpasukan, harus ada visi dan misi yang jelas; mengatur dan membahagikan tugas, sentiasa berkomunikasi, menggalakkan orang lain memberitahu kesilapan, membina keserasian, memahami dan membentuk perjuangan.
Mahir dalam kepemimpinan menjadi The Fourth Summit. Penulis menyebutkan sebagai Finding True Leadership. Untuk menjadi pemimpin, kita perlu memimpin diri sendiri terlebih dahulu. Penulis menggariskan 5P sebagai seorang pemimpin: (a) purpose (tujuan); (b) plan (rancang); (c) progress (mara); (d) people (orang) dan (e) performance (pelaksanaan).
Kelima-lima perkara tersebut diuji dan dinamakan emotional intelligence (EI) di mana kekuatan tingkah laku atau perangai seseorang akan melibatkan diri kita dengan orang lain. Keberkesanan kepimpinan seseorang bergantung kepada bagaimana pengikutnya memberi tindak balas.

Memaksimumkan bakat yang ada sebagai The Fifth Summit (Tapping the Talent). Kejayaan sebenarnya sentiasa dikeliling oleh orang-orang yang berbakat. Bakat seseorang akan meningkatkan kekuatan pasukan atau kumpulan. Seseorang yang berbakat dianggap sebagai seorang yang pakar.
Justeru, sentiasa berpandukan kepada bantuan pakar untuk mendapatkan hasil yang lebih efektif. Kepakaran boleh datang daripada dalam kumpulan atau dari luar. Kita hendaklah membantu seseorang mencipta kejayaan melalui penghargaan, memberi tugasan yang diminati dan memberi peranan dan tanggungjawab yang betul.

Keupayaan menganggap sesuatu yang merugikan sebagai peluang bukanlah suatu perkara yang mudah. Soalnya bagaimana kita mahu bersikap positif melihat “kerugian” (kesilapan, kekalahan, kelemahan) sebagai peluang untuk membina kejayaan yang lebih baik.
Menjadikan kerugian sebagai ‘batu loncatan’ untuk bermuhasabah dan merancang semula untuk mencipta kejayaan yang berikutnya. Inilah The Sixth Summit yang penulis katakan sebagai Thinking Positively. Sentiasa berfikiran positif dan sentiasa membayangkan kejayaan. Sentiasa berfikir kemenangan dan kejayaan, maka “kerugian” dapat diminimumkan.
The Seven Summit ialah Never Letting Up. Jangan berputus asa untuk merealisasikan impian. Buat keputusan yang tepat. Laburkan lebih banyak masa, kesungguhan dan tenaga, malah wang ringgit untuk memastikan kejayaan walaupun kemenangan tidak pasti. Teruskan melakukan sesuatu perkara yang betul sehingga akhir. Belajar mengurus dengan baik dan mengurangkan pembaziran (masa, tenaga, wang).

Buku ini merupakan sebuah buku yang bersifat “serampang dua mata”. Penulis membicarakan tentang dua perkara yang berbeza dalam satu persembahan yang menarik dan analogikal.
Ini merupakan suatu gaya penulisan yang baik bagi menarik minat orang membaca. Gaya fiksyen disajikan sebagai penarik minat atau mengimbangi mereka yang tidak mahu bacaan yang terlalu berat dan ilmiah.
Dalam masa yang sama, pada bahagian yang lain menulis membicarakan tentang motivasi kejayaan tanpa mengabaikan fiksyen yang dibuat. Penulis membuat jalinan yang rapi agar dua perkara yang berbeza itu tidak kelihatan terpisah-pisah dan bertaburan.
Membaca buku ini, kita akan memperoleh pengetahuan dan merasai pengalaman seorang pendaki gunung melalui cabaran untuk mendaki tujuh puncak gunung tertinggi dunia.
Pada masa yang sama juga, kita akan memperoleh inspirasi dan motivasi mencipta kejayaan (tujuh puncak / tonggak kejayaan). Langkah-langkah untuk mencapai kejayaan yang disampaikan sangat bersifat praktikal.
Idea-idea dan formulasi kejayaannya bukan hanya konsep atau idea tetapi sememangnya boleh dipraktikkan. Barangkali pengalaman sebenar penulis semasa melakukan pendakian membantu beliau menghasilkan formulasi ini secara praktikal dan bukan hanya idea semata-mata.Buku ini baik dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Mereka yang gemar penulisan fiksyen dan mereka yang mahu mencari inspirasi dan formula kejayaan, buku ini adalah buku yang sewajarnya mengisi pustaka mereka!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home